
Kemalangan yang melibatkan pelakon berbakat, Nabil Huda dan anaknya, Keisha Laila menjadi perbualan hangat apabila rakan selebriti, Zoey Rahman memuat naik gambar kenderaan yang dinaiki oleh Nabila itu terbalik.
Banyak tanda tanya yang timbul mengenai keadaan sebenar Nabila dan Keisha.
“Syukur Alhamdulillah Abil dan Keisha berada dalam keadaan selamat. Dia kini berada bersama ayahnya dan Abil pula dinasihatkan doktor untuk tidak membuat sebarang kerja berat dan menangguhkan penggambaran selama tiga hari,” ujar Nabila ketika dihubungi GUA baru-baru ini.
Kemalangan berlaku apabila kenderaan yang dipandu oleh rakan artis, Syazwan Zulkifli hilang kawalan, berpusing dan terbalik beberapa kali dalam keadaan hujan lebat. Ketika kejadian, Nabila dan Keisha sedang tidur.
“Abil terus ke belakang untuk mencari Keisha dan jantung Abil seakan-akan berhenti berdegup apabila melihat Keisha tiada di kerusi belakang. Abil memanjat keluar dari kereta dan nampak Keisha ada di luar. Abil terus melompat dan berlari mendapatkan Keisha lalu mendukungnya ke arah kereta yang berhenti untuk membantu. Ketika itu Abil rasa sangat bimbang kerana takut kecederaan yang dialami Keisha serius,” ujar Nabila.
Masih berada dalam keadaan trauma, Nabila cuba sedaya upaya untuk melupakan kenangan pahit tersebut. Ini kerana Nabil masih dibelenggu dengan detik yang mana dia melihat Keisha tiada di kerusi belakang.
“Abil cuba untuk melupakan detik tersebut, namun sehingga kini masih terbayang-bayang. Bagi Abil, biarlah jadi apa-apa kepada Abil, tapi jangan jadi apa-apa pada Keisha. Abil redha dengan ketentuan Ilahi,” ujar Nabila lagi.
Dalam masa yang sama, Nabila enggan mengulas lanjut mengenai tindakan bekas suaminya mengamuk di laman sosial Twitter kerana memahami keadaannya pada ketika itu. – GUA
Posting Komentar